Tuesday, October 2, 2012

BABY MENOLAK PENYUSUAN BADAN


Apakah itu? 

Bayi yang tidak mahu menyusu badan dan bukan berada dalam proses bercerai susu, dikatakan sedang melalui "mogok penyusuan badan". Ini adalah caranya bayi anda memberitahu yang dia mempunyai masalah tertentu. Anda perlu menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini. 

Apakah puncanya? 

Terdapat beberapa sebab bayi anda menolak penyusuan dan yang paling biasa ialah: 

• Bayi anda tidak melekap dengan betul dan isi puting yang masuk ke dalam mulutnya tidak cukup untuk membolehkan dia menyusu dengan efektif. Adalah baik jika anda mendapatkan nasihat daripada kaunselor penyusuan untuk mengatasi masalah ini. 

• Sakit mulut disebabkan oleh pertumbuhan gigi, lepuh sejuk (cold sores) atau jangkitan (seperti jangkitan kandida). 

• Ini merupakan reaksi bayi disebabkan jeritan yang anda keluarkan apabila dia menggigit buah dada anda

• Bayi anda mempunyai jangkitan telinga yang menyebabkan tekanan atau kesakitan semasa menyusu. 

• Selesema atau hidung tersumbat yang menyukarkan bayi bernafas semasa menyusu. 

• Terlalu kerap menambah susu formula, menyebabkan pengurangan bekalan susu badan. 

• Terlalu banyak gangguan, bunyi bising atau terhenti ketika menyusu. 

• Anda terlalu kerap tidak mengindahkan bayi apabila dia menangis sebab mahu menyusu. 

• Rutin bayi anda telah terganggu sebab anda berpindah rumah atau anda kembali bekerja. 

• Bayi berpisah dari anda untuk jangkamasa panjang yang luar biasa. 

Antara sebab lain termasuk kesensitifan terhadap makanan atau kesensitifan terhadap susu badan atau alahan, atau kesensitifan terhadap krim atau produk wangi yang disapukan pada buah dada atau sekitarnya, atau mungkin telah berlaku perubahan dalam rasa susu anda. Perubahan ini boleh disebabkan oleh ubat, atau makanan tertentu, atau kedatangan haid atau mungkin anda telah hamil sekali lagi. 

Apakah yang saya boleh lakukan? 

Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama. Sepanjang masa ibu mencari sebab-sebab mogok susu ini berlaku, ibu juga mungkin merasakan (walaupun ini tidak rasional) bahawa bayinya tidak mahukan dia lagi. 

Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, namun, perkara ini boleh diatasi dengan kesabaran dan kasih sayang dari anda. 

Semasa dan sambil anda mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini, adalah penting bagi anda memerah keluar susu anda dengan tangan atau pam setiap beberapa jam (sama kerap seperti bayi anda menyusu dulu). Ini akan membantu mencegah pembengkakan atau mastitis dan mengekalkan bekalan susu yang cukup. 

Berikut adalah beberapa cara untuk menangani masalah ini: 

• Cuba berikan buah dada anda semasa bayi anda sedang tidur atau semasa dia paling mengantuk. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk. 

• Berjumpalah dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada bayi mempunyai sebarang penyakit (seperti jangkitan telinga atau jangkitan kandida). 

• Cuba beberapa posisi penyusuan. 

• Susukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri. 

• Carilah bilik yang sunyi untuk menyusukan bayi. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali. Bayi pada usia ini mudah mengalih perhatian kepada perkara lain dan selalunya lebih suka untuk "bersnek" di buah dada anda dan tidak mahu menyusu dengan sempurna. Gunakanlah bilik yang agak gelap, sunyi dan jauh daripada bunyi radio atau televisyen semasa menyusukan bayi anda. 

• Berikan sentuhan kulit dengan kulit yang kerap (cuba menyusu tanpa memakai baju atau semasa memandikan bayi). Kain atau alat pendukung bayi boleh membantu anda berkedudukan rapat dengan bayi semasa tidak menyusunya. 

Memang normal bagi kebanyakan ibu menyangkakan bahawa bayi tidak mahu menyusu sebab dia mahu bercerai susu. Sebenarnya, tidak mungkin bayi yang berusia di bawah satu tahun yang terdahulunya menyusu dengan baik sudah mahu bercerai susu. 

Adakah ini akan menjejaskan bayi saya? 

Bayi yang mogok susu badan akan mengganggu ketenteraman ibu, sama juga bayi anda. Cuba pastikan segalanya dalam rutin bayi anda kekal normal seperti biasa. Berikan dia perhatian lebih dan sentuhan fizikal. Jika anda merasa risau yang bayi anda tidak mendapat susu yang cukup, awasi kekerapan dia mengotori lampinnya. Sekiranya dia mengguna antara lima hingga enam lampin pakai buang sehari – atau enam hingga lapan lampin biasa – ini menunjukkan dia mendapat cecair yang secukupnya (lampin pakai buang senang menyerap, oleh itu anda mungkin tidak perasan setiap kali dia kencing). Jangan teragak-agak menghubungi doktor jika anda rasa risau. 

Adakah saya masih boleh menyusukan? 

Sudah tentu. Adalah penting bagi anda untuk terus mencuba menyusukan bayi anda. Dengan kesabaran dan ketabahan, anda akan dapat menyusukan semula. 


Ehsan daripada Baby Centre

No comments:

Post a Comment